Digital clock

Monday, 15 April 2013

Isu Stopa: Pucuk Pimpinan Pas Diam



SHAH ALAM : Pucuk pimpinan PAS diselar kerana mengambil sikap pilih kasih dalam menangani kes edaran video lucah yang mirip kepada Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali.

Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) Datuk Aidit Ghazali berkata PAS perlu bersikap profesional dan adil dengan melakukan siasatan mengikut syariat Islam terhadap mereka yang terbabit dengan video berkenaan.

“Dari segi tuntutan Islam bagaimana Allah S.W.T. mengajar kita dalam surah Al-Hujurat, sekiranya kita dapat khabar ataupun berita dan walaupun khabar ini adalah daripada orang yang fasik, Allah tuntut atas kita untuk selidik,” katanya.

Menurutnya, pemimpin PAS tidak wajar menolak bulat-bulat tuduhan yang ditimbulkan tanpa menyelidikinya.

Aidit berkata walaupun ketulenan video itu masih belum dapat dibuktikan, PAS perlu mengambil tindakan pantas untuk membela ataupun mengadili ahlinya demi menjaga imej parti yang membawa nama Islam.

“Apa-apa khabar yang kalau sampai kepada kita, walaupun mungkin terkena pada batang hidung kita sendiri, walaupun terkena pada orang yang satu parti atau satu organisasi dengan kita sendiri, kita dituntut untuk selidik.

“Justeru apabila PAS bertindak secara emosional, bila PAS bertindak seolah-olah pilih kasih, bila PAS bertindak seolah-olah tidak mahu untuk tahu kebenaran, maka ini mencerminkan satu sifat PAS yang kelihatan semakin tidak matang, semakin bersifat taksub, semakin tidak tahu bagaimana hendak membuat pertimbangan,” katanya.

Aidit turut mempersoalkan tindakan pemimpin PAS yang seolah-olah ‘pilih kasih’ kerana umum maklum bahawa PAS adalah satu-satunya parti dalam barisan pembangkang yang lantang mendaulatkan undang-undang Islam.

Namun, kes video ini seolah-olah dipandang sepi oleh PAS dan mereka dilihat mengambil tindakan untuk mendiamkan diri dan mengelak bila diajukan soalan.

“Ramai dikalangan saya, kalangan agamawan, sarjana Islam, para ulama, mereka mengatakan kenapa PAS mengaku sebagai sebuah parti Islam, tetapi dalam bab ini (video seks) tak mahu pula ikut cara Islam. Seolah-olah memilih-milih, ini adalah satu perkara yang PAS kena jelas,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan itu boleh menghakis imej PAS yang mendukung Islam kerana jelas pemimpin parti itu tidak bersikap telus dan adil, khususnya kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment