Abu Zahar Gesa Karpal Hormati Perlembagaan
Tan Sri Abu Zahar Ujang (kanan) beramah mesra bersama Anggota-anggota Dewan Negara sebelum mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua di Dewan Parlimen. Foto: Shafiqah FadzilKUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang menggesa Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
"Karpal Singh sebagai seorang peguam dan anggota parlimen patut faham mengenai perlembagaan negara, beliau harus tengok apa yang dikatakan oleh perlembagaan, jangan buat kenyataan yang mengelirukan rakyat.
"Saya nasihatkan semua pihak fahamilah perlembagaan itu, ia telah diterima pakai sejak kita merdeka lagi dan yang membuat negara berjaya dan aman sehingga ke hari ini," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bagi penggal kedua di Parlimen, di sini Selasa.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Karpal baru-baru ini agar Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memansuhkan Dewan Negara kerana kewujudan institusi itu tidak memberi makna secara menyeluruh serta hanya membazir.
-- BERNAMA
Tidak salah Utusan pertahan Perlembagaan
KUALA LUMPUR 17 Mei - "Adakah usaha mempertahankan hak orang Melayu menjadi satu kesalahan yang lebih besar daripada tindakan mempertikaikan kedaulatan Perlembagaan negara ini?"
Begitulah reaksi Ketua Kluster, Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Mustafa Ishak terhadap tuduhan tidak berasas Naib Presiden MCA, Gan Ping Siew yang menyelar Utusan Malaysia kononnya akhbar itu mengamalkan agenda etnosentrik.
Jelasnya, peranan jelas akhbar tersebut sebagai pendukung Perlembagaan Persekutuan kini kerap dimanipulasikan oleh banyak pihak yang berkepentingan terutamanya golongan yang mahu menjatuhkan kedaulatan negara ini.
Tambahnya, selagi pihak seperti Utusan Malaysia membincangkan isu yang berpaksikan usaha mempertahankan Perlembagaan, ia tidak harus dianggap negatif dan sensitif oleh mana-mana pihak.
"Apa yang dilakukan oleh Utusan Malaysia dalam usaha mendaulatkan agama dan bangsa wajar diteruskan dalam usaha akhbar ini mempertahankan kedaulatan Perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga mempersoalkan kenyataan yang diutarakan Ping Siew yang menggambarkan seolah-olah usaha memperjuangkan hak istimewa orang Melayu itu adalah suatu kesalahan dan bertentangan dengan norma masyarakat di negara ini.
"Pemisahan etnik sememangnya wujud dalam pendidikan, ekonomi dan politik di seluruh dunia. Justeru, media juga tidak terkecuali.
"Dan apakah akhbar keramat seperti Utusan Malaysia perlu berdiam diri sedangkan ada pihak lain sedang berusaha untuk menggugat Perlembagaan negara? Sudah pastinya tidak sesekali," ujarnya.
Sementara itu, Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula berkata, kenyataan Ping Siew itu membuktikan bahawa sifat beliau seiras dengan perjuangan DAP yang telah lama mempersoalkan perkara yang sama.
"MCA harus menari dengan tariannya sendiri, bukan dibayangi nilai-nilai perjuangan DAP yang kononnya menolak perkauman namun sebenarnya merekalah yang kuat dengan sentimen perkauman," katanya.
---UTUSAN---