ADUN Pengkalan Bharu, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, beliau akan akur terhadap keputusan pucuk pimpinan parti sekiranya tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).
Bagaimanapun beliau memberi jaminan akan terus setia kepada parti dan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon BN yang bakal dinamakan.
Beliau percaya, siapa sahaja yang akan diumumkan oleh kepimpinan Barisan Nasional adalah yang terbaik untuk memenangi PRU-13.
“Siapa sahaja yang akan dicalonkan mestilah lebih baik daripada saya segi kepimpinan dan juga pendidikan,” katanya pada sidang media di Hotel Syuen Ipoh hari ini.
Beliau berpendapat, rakyat tidak perlu melakukan protes secara terbuka sekiranya ingin mencadangkan calon tertentu, sebaliknya menyuarakannya kepada pemimpin di kawasan masing-masing.
“Ia suara pengundi dan sebagai pemimpin kita harus mendengar dan perlu memaklumkan kepada Perdana Menteri berkenaan cadangan yang disuarakan.
Pun begitu, kita wajib akur dengan keputusan yang telah pun dibuat dan sebagai ahli, kita jangan sekali-kali menetang keputusan yang telah dibuat,” katanya.
Mengulas mengenai nasib tiga lagi calon BN iaitu Datuk Ahamad Pakeh Adam, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan, dan Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang masih berteka-teki mengenai masa depan mereka, Hamdi berkata, ketiga-tiga mereka masih berkeyakinan sekiranya dicalonkan semula.
“Saya telah menghubungi mereka secara peribadi dan mereka memberitahu bahawa masih lagi mampu untuk bertanding dan yakin akan menang dalam PRU kali ini, jadi terserah kepada rakyat untuk membuat penialaian,” katanya.
No comments:
Post a Comment