Perjuangan PAS yang dulu dipimpin golongan ulama, kini sudah berubah dengan keputusan penting dan dasar parti kini dipengaruhi pimpinan bukan ulama.
Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, mengakui parti itu tersasar, sekali gus mengecewakannya yang menyertai PAS dulu kerana mahu berjuang menegakkan negara Islam bersama ulama.
“Saya suka kepemimpinan ulama kerana saya bukan ulama. Saya mahu dipandu, dinasihat, ditunjuk jalan oleh ulama. Dulu ulama membentuk kira-kira 80 peratus kepemimpinan PAS dan 20 peratus golongan profesional seperti saya. Kini sudah terbalik, pemimpin bukan ulama 80 peratus.
Gugur negara Islam
“Mereka (bukan ulama) yang mempengaruhi Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang) dan Nik Aziz (Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat). Akhirnya gugurlah negara Islam, gugurlah kepemimpinan ulama, tunduklah kepada Anwar Ibrahim, Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng,” katanya.
Berucap pada majlis ceramah perdana isu semasa di Kampung Kubang, beliau yang juga Presiden Jalur Tiga (JATI), berkata berdasarkan pengalamannya sebagai pemimpin kanan PAS, beliau tidak yakin parti itu mampu mengotakan janji menegakkan agenda Islam.
“Ketika saya jadi EXCO Selangor, saya mahu laksanakan peruntukan agama, antaranya mengurangkan arak di Shah Alam yang 80 peratus penduduknya Melayu Islam, nak kurangkan rumah urut, pusat judi, dangdut, kafe siber dan hotel bajet. Saya ditentang habis-habisan oleh DAP, PKR, malah pemimpin PAS sendiri.
“Bayangkan, orang PAS tidak setuju saya banteras judi dan arak. Mereka kata jangan buat lagi, tunggu sampai dapat tawan Putrajaya. Kalau di peringkat negeri pun tak dapat buat, macam mana nak buat di peringkat Pusat (Putrajaya) kerana bantahannya pasti lebih besar,” katanya.
Mahu rakyat tolak PAS
Katanya, beliau berasa tertipu dengan PAS dan mahu masyarakat menolak parti itu kerana bekerjasama dengan DAP dan PKR yang tidak menjamin masa depan Melayu, Islam dan institusi Raja di negara ini.
No comments:
Post a Comment